skpta.zoom-a.com
SEKOLAH KEBANGSAAN PETAGAS
PETI SURAT 55, TANJUNG ARU Tel : 088764589, Faks : 088764589
e-mel : skpta@zoom-a.com
| LAMAN UTAMA | SEJARAH | FALSAFAH PENDIDIKAN | PIAGAM SEKOLAH | LENCANA SEKOLAH | VISI & MISI | DOA SEKOLAH | LAGU SEKOLAH | ENROLMEN PELAJAR | KEPUTUSAN UPSR | KURIKULUM | KOKURIKULUM | BERITA TERKINI | AKTIVITI | PAUTAN |


 

Sejarah Sekolah Kebangsaan Petagas,Penampang

              Sekolah Kebangsaan Petagas adalah merupakan salah sebuah sekolah yang termasuk dalam Daerah Penampang. Sekolah ini terletak kira-kira 9 kilometer dari Bandaraya Kota Kinabalu. Jika kita tinjau kedudukan sekolah ini ianya amat strategik, ini kerana terletak di tengah-tengah Kampung Petagas.

              Sejarah persekolahan di Kampung Petagas ini bermula apabila sebuah sekolah sementara sederhana telah didirikan pada tahun 1955, ketika itu negeri Sabah masih di bawah pemerintahan Inggeris. Pada mulanya, sekolah ini tertubuh adalah atas daya usaha Ketua Kampung Petagas pada waktu itu, beliau ialah KK Awang Jaya Majintar dan dibantu oleh Encik Mohd Yunin Arshad. Kesedaran dan usaha mereka menubuhkan sekolah di Kampung Petagas ini telah diterima dan disokong penuh oleh penduduk-penduduk Petagas.

              Setelah bangunan sekolah ini siap dibina, KK Awang Jaya Majintar dan beberapa orang rakannya telah menjalankan kempen untuk menarik anak-anak di sekitar Kampung Petagas untuk belajar di sekolah baru itu. Kempen yang dijalankan telah berjaya menarik kira-kira 75 orang murid. Jumlah ini termasuklah murid-murid yang baru mendaftar ke darjah satu dan selebihnya adalah murid yang bersekolah jauh dan telah berpindah ke sekolah ini.

              Pada mulanya, sekolah ini hanya mampu mengadakan tiga kelas sahaja iaitu darjah satu, darjah dua dan darjah tiga. Murid yang belajar dalam darjah satu adalah seramai 32 orang, darjah dua 24 orang dan darjah tiga pula Cuma terdapat 19 orang sahaja. Tenaga pengajar yang ada pada ketika itu hanya lima orang sahaja. Guru-guru yang berjasa itu ialah Cikgu Mohd.Yunin Arshad, selaku Guru Besar sementara guru-guru yang lainnya ialah Cikgu Anak, Cikgu Tukan Lattah, Cikgu Jamri dan Cikgu Hamzah Amin. Sekolah Kebangsaan Petagas seperti yang kita lihat pada hari ini telah dibina secara berperingkat-peringkat.

Peringkat Pertama       - Pada tahun 1959, sekolah sementara yang telah dibina pada tahun 1955 telah dirobohkan dan diganti pula dengan bangunan sekolah yang baru.

 Peringkat Ke Dua         - Pada tahun 1963, bangunan tambahan telah didirikan lagi kerana bilangan kelas yang ada tidak mencukupi untuk menampung bilangan murid yang bertambah ramai.

 Peringkat Ke Tiga        - Pada tahun 1969, iaitu selang enam tahun setelah bangunan tambahan dibina pada tahun 1963, sekali lagi sekolah ini menerima peruntukan dan telah mendirikan bangunan tambahan kerana bilangan murid semakin bertambah.

 Peringkat Ke Empat     - Pada tahun 1975 bangunan tambahan yang terakhir yang lebih selesa dan lengkap telah dibina kerana memandangkan kepentingan sekolah ini pada masyarakat di sekitar Petagas. Tambahan pula bilangan murid semakin bertambah dari tahun ke tahun.

              Bangunan Sekolah Kebangsaan Petagas telah dirasmikan pada 29 Mac 1975 oleh Tuan Pengarah Pelajaran Sabah pada waktu itu Encik Omar Mohd Hashim. Sekolah Kebangsaan Petagas yang ada dilengkapi dengan bekalan air dan elektrik, 12 buah bilik darjah, bilik guru besar, bilik rehat guru-guru, bilik sembahyang, bilik sumber, bilik pemulihan, stor alat-alat sukan dan buku teks, tandas guru dan murid serta tiga buah rumah guru. Memang tidak dapat dinafikan bahawa bangunan lama ini mempunyai berbagai-bagai kekurangan dan masalah namun atas daya usaha guru besar dan guru-guru sekolah ini, sedikit sebanyak segala kekurangan dan masalah dapat diatasi.

              Sebagai sebuah sekolah yang telah berusia hamper satu pertiga (1/3) abad, sekolah ini telah banyak berjasa dan berbakti kepada masyarakat, terutama sekali yang tinggal di sekitar Petagas dan Putatan. Ini kerana dengan segala kekurangan yang ada telah ramai murid-murid tua sekolah ini yang berjaya melanjutkan pelajaran mereka ke peringkat universiti di dalam negeri dan di seberang laut. Ada juga yang telah berjaya pegawai-pegawai tinggi kerajaan, ahli perniagaan, jurutera, guru dan lain-lain lagi.

              Guru Besar, guru-guru dan kakitangan sekolah adalah merupakan jentera kerajaan untuk melahirkan generasi yang berilmu dan berpengetahuan sempurna yang bakal membangunkan Negara dan mengharumkan nama Malaysia khasnya di mata dunia. Sesungguhnya sejarah seorang Perdana Menteri, Profesor, Ulama, Doktor, Saintis dan sebagainya adalah bermula dari seorang guru biasa yang telah mengajarnya ABC, Alif, Ba, Ta dan 1, 2, 3. Oleh yang demikian segala jasa bakti yang murni ini akan tetap dikenang bangsa dan negara, hingga akhir nanti.                  

Senarai nama Guru Besar yang pernah berkhidmat di sekolah ini.

 

01. Tuan Haji Mohd Yunin bin Arshad-1955 hingga 1965

02. Tuan Haji A Majid bin Gajah-1963

03. Tuan Haji Pg Daud bin Pg Ismail-1964 hingga 1968

04. Tuan Haji Abd Hamid bin Ismail-1969 hingga 1971

05. Tuan Haji Mohd Nin bin Jali-1972

06. Encik Abdullah bin Jiok-1973

07. Encik Mohd Ali bin Gador-1974

08. Encik Pg Dahlan bin Pg Abu Bakar-1975 hingga 1980

09. Encik Adam bin Haji Alif-1981

10. Tuan Haji Mohd Assi bin Ismail-1982

11. En Balus bin Dulaji-1983 hingga 1984

12. Tuan Haji Kassim bin Mohd Wali-1985 hingga 1987

13. Encik Ag Ku Ajamain bin Pg Hamid-1988 hingga 1993

14. Encik Ahmad bin Making-1993 hingga 1998

15. Encik Abd Hamid bin Haji Hashim-1998 hingga 2000

16. Encik Ismail Ag Tuah-2001

17. Mahali bin Ramli-2001 hingga sekarang

 

 

 

 

 

 

 


Zoom A - Program Pembelajaran Secara Interaktif Melalui Internet Yang Tercanggih Di Malaysia

Pelawat: